Solat Sunat Hari Raya Aidil Fitri

Merupakan tugas rutin menyampaikan kaifiat solat sunat hari raya hampir setiap tahun di Masjid Baiturrahman.. Saya cuba kongsi di sini khususnya bagi kanak-kanak, para remaja atau rakan-rakan yang berminat mengimbau kembali kaifiat melaksanakan solat walaupun pernah juga melaksanakannya pada tahun lepas… Kadang-kadang perlu juga di semak kembali supaya dapat dilaksanakan dengan lebih baik.. 

Hukum Solat Sunat Hari Raya Aidil Fitri adalah sunat muakkad bagi lelaki dan perempuan.

Masa mengerjakan solat adalah bermula selepas terbit matahari sehingga masuk waktu Zohor. Dilaksanakan sebanyak dua rakaat.

Sementara menunggu waktu solat di dalam masjid, kita digalakkan kita bertakbir.

Kaifiat Solat:

Niat solat

 “Sahaja aku solat sunat hari raya aidilfitri dua rakaat kerana Allah Taala.”

(Lafaz niat: Usolli sunnatal li i’dil Fitri rakaataini makmuman lillahi Taala)

Sebelum membaca Alfatihah iaitu selepas membaca doa iftitah, hendaklah bertakbir sebanyak 7 kali pada rakaat pertama. Tidak termasuk Takbiratul Ihram. Manakala, 5 kali takbir pada rakaat kedua.

Di antara takbir dengan takbir berikutnya, hendaklah diselangi dengan tasbih:

“Subhanallahi walhamdulillahi walailahaillallahu wallahuakbar, wala haula wala quwata illabillahil ‘aliyil ‘azim”  sekali.

Pada rakaat pertam, baca Al-Fatihah, manakala surah dibaca oleh imam.

Begitu juga bagi rakaat kedua, makmum membaca al-Fatihan manakala surah selepas Al-Fatihah akan dibaca oleh imam.

Khutbah akan berlangsung setelah solat selesai. Kesempurnaan solat hari raya hanya berlaku sekiranya kita selesaikan kedua-dua khutbah yang akan disampaikan oleh khatib.

Perbuatan meninggalkan masjid yang dilakukan oleh sesetengah makmum sebelum selesai khutbah menyebabkan solat mereka tidak sempurna.