DI SEBALIK IBADAH HAJI DAN QURBAN


Pada ketika ini sekitar 3 juta umat Islam yang mengerjakan ibadah haji sedang berwukuf di Arafah. Yang uniknya, umat Islam seluruh dunia juga akan melaksanakan ibadah Qurban serentak pada 10,11,12 dan 13 Zulhijjah tidak kira jemaah haji atau tidak..

Pada umat Islam, inilah peluang bagi mereka yang mempunyai lebihan rezeki untuk melakukan ibadah Qurban. Antara manfaat yang diperolehi daripada ibadah Qurban ialah ianya dapat mendidik hati supaya sentiasa bersyukur, mengukuhkan persaudaraan dan meningkatkan ketaqwaan…

Sukacita kami kongsikan sebuah hadis Rasulullah s.a.w mengenai kelebihan berqurban: “Para sahabat bertanya kepada Rasulullah saw: “Ya Rasulullah, apakah Ud-hiyyah (qurban) itu?”. Rasulullah menjawab: “Itulah sunnah ayahmu Ibrahim”. Para sahabat kembali bertanya: “Apakah yang kita akan peroleh dari Ud-hiyyah itu?”. Rasulullah menjawab lagi : “Pada setiap helai bulu (dari binatang yang dikorbankan itu) kita akan mendapat satu kebajikan”. (HR. Ahmad dan Ibn Majah)

Seharusnya Ibadah Haji dan Qurban ini memberi manfaat kepada kita dan menjadi pengajaran dalam menjalani kehidupan dengan sempurna sebagai khalifah di mukabumi ini.

MUSIM HAJI DATANG LAGI..

Kota Makkah dan Madinah (haramain) ketika ini sedang dibanjiri oleh jutaan umat Islam dari segenap pelusuk dunia dalam rangka melaksanakan ibadah haji. Betapa gembiranya mereka yang terpilih menyambut seruan Allah ke Baitullah, melaksanakan rukun Islam ke lima. Apatah lagi tempoh menunggu giliran yang lama sehingga bertahun-tahun. Wang yang banyak tidak menjamin lambaian kaabah, sebaliknya semuanya adalah pilihan daripada Allah swt. Namun setiap orang Islam wajib menanam niat untuk melaksanakan ibadah haji serta berusaha ke arahnya.

Banyak tempat-tempat bersejarah yang sesuai untuk dilawati sebelum tibanya hari wuquf. Tempat yang biasa dilawati ialah Jabal Rahmah, Gua Tsur, Gua Hira’, ladang unta, muzium, perkuburan Ma’la dan banyak lagi. Tidak kurang pula yang mengambil kesempatan melakukan umrah sunat sebanyak yang boleh. Almaklumlah.. peluang mengunjungi tanah suci bukan datang selalu, gunakan sepenuhnya untuk beramal. Tidak kurang pula yang banyak menghabiskan masa di Masjidil Haram mengerjakan berbagai amalan sunat khususnya tawaf sunat.

Barisan kedai yang begitu banyak di sepanjang jalan dari hotel ke Masjidil Haram pasti memberi cabaran kepada bakal-bakal haji untuk mengintai barang-barang jualan bagi dijadikan ole-ole. Seelok-eloknya selesaikan ibadah haji, barulah berbelanja untuk dijadikan ole-ole. Namun ole-ole yang paling baik adalah air zam-zam dan kurma Madinah, yang tidak terdapat di tempat lain.

…Kurma yang berbagai pilihan dan berbagai kualiti lebih banyak boleh didapati di Madinah berbanding Mekah.

Manakala ketika di Madinah, jemaah haji akan berpeluang bersolah berjemaah 40 waktu di Masjidin-Nabawi. Hotel-hotel besar yang dibangunkan disekeliling masjid memudahkan jemaah haji berulang alik ke masjid. Tidak kurang pula yang banyak menghabiskan masa beriktikaf di dalam masjid. Manakala tempat lawatan di Madinah yang boleh dilawat pula adalah Makam Rasulullah, Abu Bakar dan Umar, Jannatul Baqi’, Masjid Quba’, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud, perkuburan Syuhada’, ladang kurma dan lain-lain lagi.

Renungan: Ibnu Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda ”Barang siapa menziarahiku dan tidak mempunyai maksud-maksud yang lain, mempunyai hak ke atasku bahawa daku mensyafaatinya bagi pihaknya. (H.R. Tabrani)

Sesiapa yang pernah mengunjungi Baitullah pasti akan merindui dan berazam untuk mengunjunginya lagi…

HIKMAH IBADAH HAJI

islamic00039[1]Ibadah haji yang mula dilaksanakan oleh nabi Adam a.s. , membawa erti dan pengajaran yang amat besar kepada manusia sejagat.

Setiap tahun berjuta-juta umat Islam dari seluruh pelusuk dunia dengan tujuan yang satu berkumpul dan melaksanakan ibadah haji. Kerajaan Arab Saudi terpaksa menentukan ‘quota’ tertentu ke atas negara-negara di seluruh dunia untuk menghadkan jumlah orang yang mengerjakan Ibadah Haji bagi mengelak kesesakan. Ada yang terpaksa menunggu giliran melebihi sepuluh tahun untuk menunaikan Fardhu Haji. Di Malaysia, dimaklumkan oleh pihak Tabung Haji Malaysia bahawa sekiranya seseorang mendaftar pada bulan ini (Januari 2010), dijangka mendapat giliran mengerjakan Haji pada tahun 2029.

Musim haji bagi tahun 1430H/2009M baru sahaja berakhir. Kira-kira 3 juta orang Islam dari seluruh dunia telah selesai mengerjakan ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima. Terbukti, kebesaran Allah s.w.t menjemput hambaNya sebagai tetamu dari berbagai keturunan, warna kulit dan latar belakang. Walaupun dunia digemparkan dengan wabak penyakit H1N1, namun Baitullah tetap penuh sesak dengan manusia yang ingin mengabdikan diri kepada penciptanya. Malah tidak timbul pun masalah merebaknya penyakit H1N1 disebabkan perjumpaan besar umat Islam tersebut.

Hujan yang turun pada tanggal 8 Zulhijjah yang lalu telah menyebabkan banjir di Jeddah malah telah mengakibatkan lebih seratus orang terkorban, pastinya ada hikmah tersendiri di sebalik kejadian tersebut. Bagi orang Arab, mereka tidak pernah menyangkal bahawa hujan yang turun merupakan hujan rahmat dari Allah s.w.t. Akibat daripada hujan yang turun tersebut, di padang Arafah juga turut mendapat manfaat. Hujan yang turun sehari sebelum wukuf di Arafah telah menyebabkan keadaan persekitaran yang terhindar daripada debu. Suasana sepanjang waktu siang yang nyaman, tidak panas sejak dari pagi hingga ke sebelah petang.

Setiap kali musim haji, sejak tanggal 8 Zulhijjah lagi, kebanyakan jemaah haji sudah mula berpakaian ihram. Pada tanggal 9 dan 10 Zulhijjah, tidak seorang pun jemaah haji akan terlepas daripada memakai pakaian ihram. Malah ada di antara jemaah haji berada di dalam pakaian ihram untuk tempoh yang lebih lama atas sebab-sebab tertentu (mengikut syariat) seperti mereka yang memilih Haji Ifrad atau sebagainya. Berpakaian ihram yang seragam melambangkan semua umat manusia samada kaya atau miskin, berpangkat atau tidak, rakyat atau raja, semuanya sama di sisi Allah s.w.t. Sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud ”Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu adalah yang paling takwa dari kalangan kamu.”

Amalan haji di Arafah, Mudzalifah dan Mina selama 4-5 hari menuntut jemaah haji supaya sentiasa memberi hak sesama jemaah haji yang lain. Keadaan kekurangan air, tandas yang terhad, makanan yang tidak memenuhi selera dan sebagainya merupakan cabaran dan dugaan. Situasi sebegini juga merupakan penilaian kepada tahap iman jemaah haji tersebut. Di sini, kita boleh menilai diri sendiri dari segi hubungan sesama manusia (hablumminannas). Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w bahawa “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga kamu mengasihi saudara kamu sepertimana kamu mengasihi diri kamu sendiri.”

Allah s.w.t menjanjikan pengampunan kepada mereka yang menunaikan fardhu haji. Hati akan tunduk kepada kekuasaan Allah, kebesaran Allah s.w.t akan diperlihatkan, terasa betapa kerdilnya kita sebagai hambaNya.

Semua jemaah haji akan pulang dengan pengalaman dan pengajaran yang tersendiri. Ramai yang menceritakan bagaimana peristiwa-peristiwa yang berlaku ke atas mereka merupakan teguran-teguran ke atas sikap mereka yang tertentu. Pengalaman dan pengajaran tersebut akan memberi kesan membentuk peribadi jemaah haji tersebut kepada yang lebih baik. Mereka yang pernah mengunjungi Baitullah, pastinya menyemat keinginan dan harapan yang tinggi untuk mengunjunginya semula pada masa yang akan datang samada dengan mengerjakan haji atau umrah.

Terima atau tidaknya ibadah seseorang adalah urusan Allah s.w.t, namun sebagai hambanya hendaklah kita berusaha mempersembahkan yang terbaik kepada Pencipta (khaliq) kita. Sehubungan itu, setiap jemaah haji hendaklah memastikan harta yang bersih sahaja digunakan untuk menunaikan Ibadah Haji. Seboleh-bolehnya semua pinjaman-pinjaman yang masih ada, tidak satupun terlibat dengan riba. Selebihnya, kita hanya mampu berserah dan mengharapkan rahmat daripada Allah S.W.T.

Sebagaimana ibadah solat, puasa dan zakat, amalan haji mempunyai hikmah-hikmah tersendiri yang disediakan oleh pencipta manusia. Allah s.w.t adalah pencipta manusia dan Maha Mengetahui apa-apa yang diperlukan oleh manusia dan apakah yang terbaik untuk manusia lakukan serta apakah perkara-perkara yang perlu manusia jauhkan…

Semoga Allah S.W.T mengurniakan haji MABRUR kepada semua jemaah haji bagi musim haji yang baru sahaja berlalu..Wallahu a’lam.